SHAH ALAM: Kadar harga siling ayam RM9.40 yang ditetapkan kerajaan telah mengambil kira kepentingan semua peringkat, dari penternak sehingga ke pembeli.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, agak mustahil untuk memuaskan hati semua pihak namun harga tersebut dilihat memberi keselesaan kepada pembeli, dan dalam masa yang sama memberi kelegaan kepada golongan peniaga.

"Kita ambil kira semua pihak, dari penternak, peniaga sehingga pembeli. Kita tak boleh puaskan hati semua pihak tetapi kita di kementerian puas hati, harga ini adil untuk semua buat masa ini.

"Kalau harga naik terlalu tinggi tanpa kawalan, ia akan jejaskan pengguna. Sebab itu kita sedaya upaya gunakan subsidi, kerajaan berbelanja besar untuk tujuan ini. Kita tidak mahu sampai industri ayam terjejas kerana nanti akan mengganggu bekalan.

"Dalam masa yang sama kena ada kawalan di peringkat runcit juga supaya semua pihak puas hati, harga RM9.40 itu harga yang kita letak selepas ambil kira semua peringkat," katanya selepas melakukan tinjauan harga ayam dan telur di Shah Alam, pada Jumaat.

Nanta juga berpuas hati dengan kadar kepatuhan terhadap harga siling ayam dan memberi jaminan bekalan ayam mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan terus memantau aduan mengenai caj tambahan upah memotong ayam.

Ini kerana berdasarkan harga dan margin semasa, caj berkenaan sepatutnya tidak lagi perlu dikenakan.

BACA: Harga ayam RM9.40 sekilogram bermula hari ini

BACA: Penetapan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam, telur dibuat dengan teliti

"Kalau peniaga mahu letak caj sedemikian, ia perlu dipamerkan pada tanda harga supaya pengguna tahu dan mereka boleh buat pilihan. Saya harap kalau ada pun caj itu, biarlah berpatutan.

"Kalau ada aduan, pihak kita akan siasat dan ambil tindakan," tegasnya.

Sebelum ini, sesetengah peniaga ayam mengenakan caj potong antara 60 sen hingga RM1 susulan margin untung yang sangat rendah.